All News

WEBINAR TINGKAT PENGETAHUAN ISU KESIHATAN DAN KESELAMATAN TEMPAT KERJA

WEBINAR TINGKAT PENGETAHUAN ISU KESIHATAN DAN KESELAMATAN TEMPAT KERJA

 

UUM ONLINE: Isu kesihatan dan keselamatan di tempat kerja bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh dan tempat kerja yang selamat perlu bebas dari sebarang risiko kemalangan.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan pengetahuan dan mengenal pasti langkah penambahbaikan amalan dalam isu keselamatan di tempat kerja, Social Security Management Center of Excellent SBM-SOSCO (SOSCoE), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menganjurkan Webinar 'Tingkah Laku Tidak Selamat Dalam Pekerjaan' menerusi Webex, semalam.

Webinar tersebut telah dirasmikan Ketua Polis Negara, Dato' Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang mana dalam ucapan beliau berkata, webinar ini merupakan platform terbaik untuk perkongsian ilmu tentang keselamatan di tempat kerja khususnya melibatkan warga PDRM.

Menurutnya, PDRM telah mewujudkan satu garis panduan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mana Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dipilih sebagai projek rintis pada tahun lalu dan ia akan disebar luas ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan komponen PDRM lain mulai 2022 hingga 2025.

Katanya, pelaksanaan pembudayaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan khususnya dalam kalangan warga pasukan adalah sangat penting bagi melindungi anggota dan orang awam daripada sebarang bahaya yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan.

"Dengan garis panduan ini diharapkan dapat mengurangkan risiko di tempat kerja mewujudkan persekitaran tempat kerja yang kondusif dan selamat bagi mengurangkan risiko kemalangan, seterusnya warga PDRM dapat bekerja dengan lebih efisien lagi.

"Saya berharap semua peserta khususnya warga PDRM akan memperoleh ilmu yang bermanfaat daripada sesi perkongsian ini dalam meningkatkan lagi kefahaman dan pengetahuan khususnya berhubung keselamatan di tempat kerja," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam aluannya berkata, sebagai petugas barisan hadapan, pegawai dan anggota PDRM sentiasa terdedah dengan pelbagai risiko keselamatan dan kesihatan dalam melaksanakan tugas harian, ditambah pula semua rakyat Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Menurutnya, di saat itu, pegawai dan anggota PDRM bertungkus lumus tanpa mengira masa dan keadaan cuaca bagi memastikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan yang telah ditetapkan kerajaan demi menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Katanya, webinar hari ini adalah salah satu inisiatif UUM dan PDRM bagi memastikan semua warga PDRM cakna tentang implikasi tingkah laku tidak selamat dan penyakit pekerjaan terhadap prestasi mereka khususnya dan PDRM umumnya.

"Program ini antara lain cuba meneliti isu dan cabaran yang dihadapi oleh kita semua, khususnya oleh warga PDRM dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, selain pandemik Covid-19 yang memberikan kesan yang signifikan kepada semua dalam pelbagai aspek seperti sosioekonomi, keselamatan dan kesihatan serta kesejahteraan diri.

"Saya juga berharap program ini dapat membincangkan inisiatif atau usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan warga PDRM, malah UUM sedia membantu PDRM untuk menggembleng kepakaran yang dimiliki agar dapat memperkasakan barisan hadapan PDRM dalam menjalankan tugas dengan baik, seterusnya meningkatkan kesan positif atas kerjasama antara kedua pihak ini," katanya.

Webinar selama sehari itu turut menampilkan pengucaptama yang merupakan Naib Presiden Sumber Manusia, Honda Malaysia, Che Zulhaimee Abdullah, diikuti ceramah dan forum serta bengkel.