UUM ONLINE: SINTOK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Penyelidik Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) Universiti Utara Malaysia (UUM) bekerjasama dalam membantu Bahagian Dasar Sumber Manusia untuk membangunkan sistem Penilaian Kompetensi Tingkahlaku Kepimpinan dan Pengurusan PDRM.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, cetusan idea kerjasama PDRM-UUM ini adalah hasil lawatan pasukan penyelidik SBM ke PDRM, Bukit Aman pada 30 September 2020 dan diikuti dengan hasil lawatan delegasi PDRM yang diketuai oleh YDH CP Dato’ Ramli Haji Din, Pengarah Pengurusan, Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Bukit Aman, pada 7hb Januari 2021.
Katanya, kumpulan penyelidik SBM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Mohd Isa bersama 11 penyelidik lain terlibat dengan projek membangun instrumen dan melaksanakan penilaian kompetensi tingkahlaku bagi gred perjawatan strategik 54 (YA24), 52 (YA22) dan 48 (YA20).
“ Hasil sesi perbincangan dan pembentangan cadangan serta pelaksanaan projek yang diadakan pada Januari 2021 itu telah dipersetujui oleh pihak PDRM dan di susuli dengan proses pelaksanaan penilaian perjawatan Asisten Komisioner Polis (ACP) ke perjawatan Senior Asisten Komisioner (SAC) telah dimulakan dengan beberapa siri bengkel,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan surat penghargaan dan pengiktirafan pakar daripada Ketua Polis Negara oleh wakil Ketua Polis Negera iaitu Deputi Komisioner Polis (DCP), Dato’ Sanusi Sidek, Timbalan Pengarah Pengurusan (Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan, PDRM di Bilik Mesyuarat Senat UUM pagi tadi.
Antara pengisian bengkel yang diadakan ialah menyemak, memurnikan deskripsi kerja, spesifikasi kerja jawatan strategik, membangunkan Kamus Kompetensi, membangunkan Instrumen Penilaian Kompetensi dan Rubrik bagi penilaian kenaikan pangkat jawatan strategik PDRM.
Selain daripada itu penilaian juga dibuat berasaskan sembilan jenis kompetensi iaitu membina hubungan, kecerdasan budaya, meneraju perubahan, ketulenan, ketelusan, visi strategik, aura ketokohan, memacu halatuju dan juga pembentangan bagi memastikan kesahan pemarkahan penilaian tersebut.
Dalam pada itu Deputi Komisioner Polis (DCP), Dato’ Sanusi Sidek ketika berucap dimajlis itu menyifatkan jalinan kerjasama ini sebagai satu Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) yang memberi impak besar kepada PDRM khususnya untuk pengurusan sumber manusia.
“Dengan kerjasama ini banyak lagi potensi dapat digembeling antara pihak PDRM-UUM bagi mencapai objektif yang ditetapkan,” ujar beliau lagi.
Di majlis itu Dato’ Sanusi Sidek turut menyerahkan Surat Penghargaan daripada Ketua Polis Negara (KPN) kepada UUM serta 12 penyelidik UUM.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan dan Perjawatan), Jabatan Pengurusan PDRM, Deputi Komisioner Polis (DCP), Puan Siti Mariam Salikin, Pendaftar UUM Ahmad Rasidi Abdullah dan Dekan SBM Prof. Dr. Salniza Md Salleh.