22 Jun 2021 – Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah mengadakan webinar bertajuk “Environment, Health & Safety Perspectives: Risk Management in COVID-19 Pandemic” melalui platform Webex Meetings. Program yang diuruskan oleh para pelajar Seminar Pemasaran telah menjemput pihak E-Idaman Sdn. Bhd. untuk berkongsi pengalaman bagaimana pihak syarikat mengurus risiko semasa pandemik COVID-19. Pihak E-Idaman Sdn. Bhd. telah diwakili oleh En. Noor Fadzely bin Zolkapeli selaku Ketua Jabatan EHS, yang juga merupakan alumni Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Hons), UUM.
Dalam program yang berdurasi lebih satu jam setengah itu, En. Noor Fadzely berkongsi bagaimana pihak E-Idaman telah berusaha mematuhi keperluan proses pengurusan risiko berkaitan ISO31000. Di samping tindakan kawalan yang ketat ke atas kesihatan dan keselamatan kesemua 6000 pekerja tetap dan kontraknya, pihak E-Idaman juga komited untuk terus menjaga kesejahteraan dan keharmonian penduduk setempat melalui pengendalian bahan sisa pepejal domestik mengikut prosedur kerja yang ditetapkan. Menurut En. Fadzely, kesemua pekerja di lapangan telah dibekalkan dengan pelitup muka dan sarung tangan getah setiap hari. Para pekerja tidak dibenarkan menyentuh sampah-sampah secara langsung semasa mengendalikan sisa buangan di setiap kediaman. Malah, menurutnya lagi, lori sampah dibasuh dan disanitasi setiap hari bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.
Diakhir sesi, En. Fadzely turut menyatakan rasa bangga kepada pihak syarikat dalam mengendalikan pandemik COVID-19. “Kami ibarat wira tak didendang, sama seperti frontliners yang lain, kami juga memberi khidmat kepada masyarakat. Dalam keadaan pandemik ini, kami merisikokan kesihatan dan keselamatan diri untuk terus memberi khidmat kutipan sampah demi keharmonian penduduk”. Dekan SBM, Prof. Dr. Salniza Md. Salleh, yang mengikuti program ini turut mengagumi inisiatif pihak E-Idaman dalam memastikan kesihatan dan keselamatan para pekerja dan pelanggannya. Penjelasan sebegini setidaknya dapat mengurangkan kerisauan dalam kalangan pihak awam terhadap pengendalian sisa pepejal sepanjang tempoh pandemik ini.
Program ini telah melibatkan lebih 45 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf di SBM. Program ini berakhir pada jam 5.30 petang.