All News

SESI PERKONGSIAN “LEARN DIGITAL MARKETING” MENARIK MINAT PELAJAR

SESI PERKONGSIAN “LEARN DIGITAL MARKETING” MENARIK MINAT PELAJAR

Oleh: Dr. Azrain Nasyrah Mustapa
Gambar oleh: Dr. Azrain Nasyrah Mustapa

 

Pada 25 Mei 2021, Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan Pelajar SBM telah mengadakan sesi perkongsian ilmu bertajuk “LEARN DIGITAL MARKETING” secara atas talian. Sesi perkongsian tersebut telah dikendalikan oleh Ts. Dr. Mathivannan a/l Jaganathan; Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM). Beliau juga merupakan seorang yang berpengalaman dan pakar dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Objektif sesi perkongsian tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar serta meningkatkan pengetahuan mengenai kepentingan pemasaran digital dalam pengurusan perniagaan kini.

Sesi selama satu jam setengah itu membincangkan tentang perkara asas yang diperlukan untuk mengaplikasikan pemasaran digital, teknik-teknik yang boleh digunakan untuk meningkatkan ‘review’ atau ‘rating’ kepada sesuatu produk atau perkhidmatan. Di antara sesi perkongsian yang dinyatakan oleh Ts. Dr. Mathivannan ada mengenai “Personal Branding” iaitu menjenamakan produk atau servis tersendiri. Melalui Personal Branding ini, peserta didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran memperbaiki laman web, facebook, instagram dan media sosial yang mampu menjadi saluran maklumat kepada pengguna. Kebanyakan media sosial yang disediakan kini ada yang berbayar dan juga percuma. Para pelajar dinasihatkan menggunakan aplikasi tersebut secara optima memandangkan ini salah satu platform untuk mengembangkan perniagaan secara atas talian tanpa memerlukan kos pengoperasian secara fizikal di kala pandemik wabak covid-19.

Selain itu, kata kunci yang dikongsikan adalah “Right Tool, Right Effort” iaitu peserta diingatkan agar menggunakan peralatan dan kaedah yang betul. Seandainya salah peralatan atau kaedah maka, salah hasilnya. Pentingnya di sini peserta mengetahui peralatan, teknik atau kaedah akan menghasilkan keputusan atau output yang terbaik. Pada 15 minit terakhir sesi tersebut, Ts. Dr. Mathivannan menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan oleh peserta termasuk pensyarah sendiri malah ada yang menyatakan tempoh sesi ini tidak mencukupi bagi mereka mempelajari tentang Pemasaran Digital ini dengan rekod kehadiran seramai 632 peserta. Sesi kedua dijangka akan diadakan pada 16 November 2021 bersama Dr. Munirah Khamarudin, Pensyarah Kanan daripada Jabatan Pemasaran SBM-COB.