Alor Setar - Sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Kamal Ab. Hamid telah dilantik sebagai pakar perunding dan fasilitator bagi menjayakan Program Pembangunan Keusahawanan untuk kariah Masjid Jame’ Al-Ehsan, Sg. Mati, Langgar.
Pelantikan itu adalah hasil beberapa perbincangan awal dan bengkel Program Pembangunan dan Pengimarahan Gabungan Masjid-Masjid Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang di bawah program 1 Pusat Pengajian 1 daerah (1PP1D) yang dijalankan awal tahun lalu.
SBM yang dilantik sebagai Penasihat Majlis Gabungan Masjid-Masjid DUN Bukit Pinang bekerjasama dengan 16 masjid sekitar kawasan tersebut untuk meningkatkan program pengimarahan masjid sebagai titik pusat (centre-point) bagi mengadakan aktiviti-aktiviti pembangunan ekonomi dan sosial dalam kehidupan harian sejajar dengan amalan dan gaya pentadbiran Rasulullah terdahulu.
Timbalan Pengerusi Masjid Jame’ Al-Ehsan, Mohammad Nawawi Ahmad merangkap Setiausaha Majlis Gabungan Masjid-Masjid DUN Bukit Pinang berkata, dia yakin pensyarah SBM dapat membantu membangunkan kariah masjid yang berminat untuk menjalankan perniagaan dalam era baharu yang penuh cabaran ini.
“UUM mempunyai tenaga pakar yang boleh menyumbang kepada masyarakat dan menerusi program ini juga diharap akan dimanfaatkan penduduk atau kariah dalam DUN Bukit Pinang untuk menjana pendapatan, seterusnya meningkatkan taraf hidup menerusi perniagaan ketika kita sedang melalui Covid-19,” katanya.