All News

3rd INTERNATIONAL CONFERENCE ON BUSINESS MANAGEMENT 2018

3rd INTERNATIONAL CONFERENCE ON BUSINESS MANAGEMENT 2018

SBM Online: Pada 7 – 8 Oktober 2018 yang lalu, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan International Conference of Business Management (ICBM) di Vouk Hotel Suites, Pulau Pinang. Persidangan antarabangsa ini adalah kali yang ketiga dengan bertemakan “IR 4.0: Navigating the Future”.

Mantan Penolong Naib Canselor UUM College of Business, Prof. Dr Haim Hilman Abdullah, dalam ucapan aluan beliau berkata, landskap ekonomi global yang kini berpaksikan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) memberi cabaran bukan sahaja kepada ahli industry, malah ahli akademik juga perlu bersiap siaga untuk membuat inovasi penyelidikan bagi melahirkan modal insan berkemahiran, kreatif dan bersikap inovasi. Beliau turut menegaskan mengenai kepentingan penerapan sikap inovasi dalam memastikan kelangsungan hayat dan daya saing organisasi kekal positif.

Sementara itu, Dr Azlan Darus, Pengurus Unit Pencegahan, Perubatan & Pemulihan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Malaysia, dalam ucapan beliau, “kerancakan menghasilkan inovasi teknologi yang digerakkan oleh IR 4.0 perlu diimbangi dengan pembangunan pengetahuan dan kemahiran pekerja bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sentiasa terjamin”. Kata beliau lagi, ahli akademik perlu memainkan peranan khususnya dalam mendepani cabaran kehilangan modal insan yang bukan sahaja memberi kesan kepada organisasi tetapi boleh menjadi beban sosial.

Persidangan kali ini turut menjemput Ts Brian Iskandar Zulkarim, Ketua Pengarah Kumpulan Damansara Realty Berhad. Beliau mengingatkan cabaran terbesar IR 4.0 bukanlah berkaitan penggantian tenaga buruh dengan teknologi kerana kecerdasan buatan tidak boleh menggantikan kecerdasan emosi yang dimiliki manusia. “Penerapan nilai kemanusiaan, nilai bermasyarakat dan nilai kekeluargaan adalah cabaran yang perlu didepani. Ahli akademik diseru untuk memperbanyakkan penyelidikan berkaitan bagi memberi panduan kepada pembuat polisi dan masyarakat”, kata Ts Brian Iskandar Zulkarim dalam ucapan beliau.

Dalam persidangan kali ini, 125 kertas persidangan telah berjaya dibentangkan merangkumi pelbagai cabang ilmu seperti pengurusan, pemasaran, pembangunan sumber manusia dan keusahawanan. Para pembentang terdiri dari ahli akademik, pelajar pasca siswazah dan prasiswazah dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dari dalam dan luar negara seperti Brunei, Indonesia, Pakistan dan Nigeria.