UUM ONLINE: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) mengiktiraf sumbangan dan jasa pensyarah dalam usaha menjadi sekolah perniagaan terbaik di dunia pada Majlis Apresiasi Staf SBM 2018 di EDC Hotels & Resorts, UUM, kelmarin.
Dekan SBM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menyifatkan majlis ini sebahagian daripada tradisi yang sedang dibina di SBM untuk menghargai dan meraikan setiap sumbangan yang diberikan oleh staf.
“Usaha ini bertunjangkan kepada objektif SBM iaitu menjadi sebuah institusi berprestasi tinggi.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada staf yang diberikan pelbagai anugerah, terima kasih kepada semua yang berusaha bersungguh-sungguh sehingga membolehkan SBM menjadi sebuah institusi yang kompetitif dan dinamik,” ujarnya.
Jelasnya, kejayaan yang dicapai hasil daripada semangat berpasukan dan kerjasama antara staf yang menjalankan tugas dengan tanggungjawab dengan sentiasa berusaha mencapai petunjuk prestasi sejajar dengan visi, misi dan objektif SBM.
“Kita perlu berusaha sebaiknya dalam usaha menjadi institusi bereputasi antarabangsa dalam kedua-dua bidang penyelidikan iaitufundamental dan applied.
“Pada masa yang sama kita perlu memastikan program akademik menepati keperluan industri di samping mewujudkan program baharu di peringkat ijazah pertama, sarjana dan PhD.
“Kita perlu bergerak pantas untuk mewujudkan semua program ijazah kita dalam mod online malah usaha untuk mempunyai program ijazah berkembar dengan universiti terkemuka dunia perlu dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Marilah kita berkerja bersama-sama dan bersungguh-sungguh jangan kerana satu habuk yang masuk ke mata kita, kita sudah tidak selesa, contohi semangat mereka yang cacat penglihatan tetapi berjaya kerana tidak menjadikan kecacatan sebagai alasan untuk tidak berusaha.
“The best is never rest jadikan Steve Job, Usain Bolt dan Michael Phelp sebagai inspirasi buat kita kerana di sebalik kejayaan mereka, ribuan jam berlatih mengasah bakat dan kemahiran.
“Ini bukan sesuatu yang mudah kerana menuntut komitmen, disiplin yang tinggi, semangat berpasukan, keringat, air mata, saya yakin kita boleh lakukannya.
“Jadi kalau kita fahami apa erti perjuangan untuk mengangkat SBM menjadi sebuah business school terkemuka, kita harus berganding bahu dan bersatu hati dalam setiap agenda yang kita tetapkan.
“Ingatlah, tidak banyak institusi mampu bertahan lebih dari 100 tahun jika warganya tidak mahu berubah.
“Justeru itu, sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik, menjadikan diri dan organisasi sebagai yang terbaik dalam industri dan dunia sebagai tanda aras,” kongsinya.