SBM ONLINE: Jabatan Pengurusan Sumber Manusia (HRM), SBM telah mengadakan Program Ziarah Kasih sempena Ramadan 1439. Program Ziarah Kasih HRM ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturrahim di antara staf di Jabatan HRM dengan waris dan ahli keluarga bekas pensyarah Jabatan HRM yang telah meninggal dunia.
Rombongan Program Ziarah Kasih yang diketuai Prof Madya Dr. Abdul Halim Abdul Majid ini mula bergerak ke kediaman Allahyarham Encik Lokman Wan Daud di Kamunting, Perak dan seterusnya ke kediaman Allahyarham Encik Ghazali Din yang terletak di Sungai Petani, Kedah. Suasana mesra bercampur hiba oleh pihak waris dan ahli keluarga amat dirasai oleh setiap ahli rombongan. Nostalgia dan sumbangan setiap mereka yang telah pergi buat selama-lamanya, begitu bermakna kepada Jabatan HRM, SBM khasnya dan UUM umumnya. Moga roh mereka dicucuri dengan rahmat Illahi.
Program ziarah kasih HRM turut menyerahkan sumbangan set hamper dan wang tunai kepada waris dan ahli keluarga. Mereka turut menyifatkan bahawa program sebegini amat memberi kesan kepada mereka dan mudah-mudahan ianya dapat dijadikan agenda tahunan Jabatan.
Program ini akan diteruskan lagi dalam masa terdekat. Dua lagi lokasi iaitu kediaman Allahyarham Prof Dr Abdul Rahim Saad di Pulau Pinang dan kediaman Allahyarhamah Prof Madya Aini Hayati Mohammed di Changlun, Kedah menjadi destinasi lawatan seterusnya tidak lama lagi.