SBM ONLINE: Pada Ahad, 29 April 2018, sekumpulan pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) daripada Pusat Pengajian Perniagaan (SBM) UUM telah mengadakan satu program pembelajaran berasaskan servis (Service Based Learning) di Dataran Wira, Mergong, Alor Setar. Program ini melibatkan 125 orang kakitangan Felcra Berhad dan penduduk di Taman Wira. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti zumba bersama AS fitness, ceramah kesihatan tentang Obesiti, booth pengenalan tentang piramid makanan, dan pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh pegawai kesihatan.
Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang pentingnya menjaga kesihatan dan juga mengawal pemakanan, di samping dapat meningkatkan gaya hidup yang lebih sihat dan produktif. Program ini banyak memberi pengalaman dan juga manfaat kepada para pelajar yang ditugaskan untuk menghasilkan output bagi kursus Seminar Pemikiran Pengurusan. Pelajar yang terlibat amat berterima kasih kepad Dr. Khairol Anuar Ishak, Timbalan Dekan SBM dan pensyarah Seminar Pemikiran Pengurusan iaitu Prof. Madya Dr. Hartini Ahmad (kumpulan B) serta pihak kakitangan Felcra Berhad cawangan wilayah utara di atas sokongan dan bantuan yang telah diberikan oleh mereka dalam menjayakan program ini.