SBM ONLINE: Seramai 210 pelajar dari jumlah keseluruhan 856 pelajar yang tersenarai sebagai penerima Anugerah Dekan SBM, Semester Pertama 2017/2018 (A171) telah menghadiri sesi gotong royong ke-2 yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pembangunan Holistik Pelajar SBM bertempat di sekitar dalam dan luar bangunan SBM. Para pelajar dibahagikan kepada 20 kumpulan dan setiap kumpulan diselia oleh wakil daripada Uniutama Property Sendirian Berhad (UPSB) dan Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP).
Penolong Naib Canselor COB merangkap Dekan SBM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah merasmikan program tersebut dengan ucapan beliau yang berkisar tentang konsep “gift back” oleh para pelajar setelah mereka menerima pelbagai ilmu serta kemahiran di pusat pengajian sepanjang tempoh pengajian. Selain itu, aktiviti gotong royong ini dilaksanakan bagi tujuan membina karakter positif dan sikap sayangkan SBM di kalangan pelajar serta tanggungjawab sosial korporat (CSR). Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah mengecat di kawasan bangunan SBM, membersihkan koridor, tandas, menyapu dan membuang daun-daun kering serta mengemas stor pejabat SBM. Ahli Jawatankuasa Pembangunan Holistik Pelajar SBM bersama beberapa orang pensyarah dan staf pentadbiran lain turut serta menghadiri aktiviti gotong royong tersebut. Aktiviti gotong royang disempurnakan dengan penyerahan sijil Anugerah Dekan kepada para pelajar oleh Dekan SBM.