“Perjalanan hidup kita tidak lama, jadikan perniagaan sebagai ibadah, bila kita jadikan perniagaan sebagai ibadah kita tidak akan sesekali mengkhianati perniagaan kita dan orang yang berurusan dengan kita. Tetapi jika kita menjadikan perniagaan sebagai platform untuk perdaya manusia kita mungkin berjaya tapi sesungguhnya kita sedang menempah jalan yang sukar,” luahnya.
Kongsinya, untuk melahirkan seorang usahawan, bukanlah sesuatu perkara yang mudah, cabaran ini menjadi semakin hebat dengan keadaan ekonomi global yang tidak stabil pada ketika ini. “Jadi, kita bukan sahaja menumpukan kepada inisiatif untuk melahirkan usahawan semata-mata tetapi apa yang lebih penting memastikan setiap usaha ke arah pembentukan usahawan yang mampu berdaya saing, berjaya mencapai kumpulan sasar yang tepat,” ucapnya yang merasmikan majlis.
Jelasnya, melalui program ini, para usahawan dilatih dan diterapkan ilmu berkenaan selok-belok perniagaan melalui kaedah knowledge and technology transfer agar mereka dapat memanfaatkan kepakaran tenaga profesional serta prasarana yang ada di UUM. “Dalam usaha memajukan diri kita, potensi bukan lagi di kampung justeru kita harus memanfaatkan teknologi di era Revolusi Industri 4.0. SBM turut menyediakan pelbagai latihan dan kursus jangka pendek dalam bidang keusahawanan dan pengurusan perniagaan yang dapat membantu menambah nilai kepada perniagaan."
“Saya berdoa agar jaringan kolaborasi strategik antara SBM, MDEC serta agensi seperti MADA, FAMA, MARA, TEKUN, dan KEDA dapat dijadikan titik mula kepada banyak lagi usahasama ke arah pembentukan budaya keusahawanan,” tambahnya.