All News

Pelancaran Tabung SBM Bersamamu

Pelancaran Tabung SBM Bersamamu

Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah mengadakan majlis bacaan Yasin dan Tazkirah Ramadan pada 4 Jun 2017. Majlis ini telah dipimpin oleh Al Fadzil Ustaz Dr. Ahmad Bashir @ Zolmat bin Aziz, Pensyarah Kanan IBS.

Majlis ini telah dihadiri oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Haim Hilman bin Abdullah Dekan SBM, Timbalan Dekan, Ketua-ketua Jabatan, staf akademik dan staf pentadbiran SBM.  Dalam tazkirah tersebut, Yang Berusaha Al Fadzil Ustaz Dr. Ahmad Bashir @ Zolmat bin Aziz menyarankan agar semua kita merebut peluang menambah pahala di dalam bulan yang mulia ini.

Di dalam majlis tersebut juga, Dekan SBM, Prof. Dr Haim Hilman bin Abdullah telah melancarkan satu Tabung 3 Dalam 1 “SBM Bersamamu”. Tabung Pertama adalah Tabung “Hapuskan Air Matamu Sahabatku”. Tabung ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu golongan-golongan yang memerlukan untuk meringankan bebanan hidup harian mereka. Tabung Kedua adalah Tabung Iftar UUM. Tabung ini bertujuan mengumpul dana bagi membantu pihak Masjid Sultanah Bahiyah UUM, dalam menganjurkan Majlis Iftar. Tabung Ketiga ialah Tabung “SBM Prihatin” yang bertujuan untuk memberi sumbangan kepada salah seorang ibu pelajar SBM yang akan menjalani pembedahan jantung dalam masa terdekat.

Dalam ucapan pelancaran tabung-tabung tersebut, Prof. Dr. Haim Hilman bin Abdullah berharap sumbangan-sumbangan yang dihulurkan ini dapat memberi manafaat kepada penerima-penerima yang terlibat. Beliau juga berharap semua pihak tampil memberi sokongan dan sumbangan dalam usaha SBM mengumpul dana-dana melalui tabung-tabung ini.

Warga UUM yang ingin menyumbang kepada tabung-tabung ini bolehlah berbuat demikian di Bilik Rehat Pensyarah di bangunan SBM atau menghubungi Pengerusi Kelab Staf SBM, Tuan Hj. Mohd Zainol Abidin Adam di sambungan 7473 atau melalui akaun Bank Islam Kelab Staf SBM 0209301002065.