SBM Online: 16 graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing diraikan pada Majlis Konvokesyen Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan (EDBM) Kali ke-11 yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Noor Azizi Ismail, di EDC Hotels and Resorts, UUM petang semalam. Prof. Dr. Noor Azizi Ismail dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan yang berjaya mengharungi cabaran seterusnya menggenggam segulung diploma, kejayaan hari ini hanyalah satu titik peningkatan dalam kehidupan baik dari segi profesion, kepuasan, nilai diri mahu pun pencapaian hidup.
“Proses panjang ini tidak seharusnya terhenti di sini dalam usaha menambah baik kehidupan dan memenuhi keperluanstakeholders lain seperti majikan, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya. Jelasnya, program Diploma Eksekutif merupakan program eksklusif yang dibangunkan untuk golongan pengurusan pertengahan yang bekerja bagi memantapkan skil pengurusan dalam menghadapi persekitaran dan cabaran pengurusan yang semakin kritikal.
“Ini seharusnya menjadi nilai tambah dalam meningkatkan keupayaan kepengurusan dalam setiap graduan yang bekerja dan menjadikan anda semua aset bernilai kepada majikan,” pesannya. Menurutnya, Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan UUM merupakan program yang diberikan akreditasi penuh oleh MQA iaitu badan penarafan akademik negara. “Silibus dan stuktur program ditambah baik secara berkala bagi memenuhi keperluan pelajar, majikan dan persekitaran industri yang rencam dan berubah-ubah,” ulasnya.
Daya tahan dan kemampuan keluar dari lingkaran masalah adalah nilai tambah yang dapat meningkatkan tahap profesionalisma graduan dalam menjalankan aktiviti pengurusan di tempat kerja masing-masing. Kongsinya, ilmu yang diperolehi sepanjang pengajian meningkatkan kaedah berfikir, melihat, mengenalpasti setiap isu dengan lebih kritikal serta cadangan penyelesaian menambahbaik ke pihak pengurusan lebih tinggi.
“Kemampuan berfikir luar kotak secara kritis dan analitik menjadikan setiap pekerja aset berharga seperti mana dibuktikan di konglomerat ternama dunia dan kemampuan itu lahir dari pelbagai sudut antaranya melalui peningkatan akademik seperti yang graduan lakukan hari ini. “Diharapkan selaku graduan sulung program EDBM yang mempunyai akreditasi MQA ini dapat meletakkan tanda aras yang disegani oleh majikan masing-masing. “Jadikanlah detik ini sebagai titik permulaan ke arah pencapaian akademik lebih baik bukannya titik penamat dalam usaha meningkatkan keupayaan akademik,” ucapnya.
Ujarnya, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat amat dituntut oleh agama kerana kekuatan ilmu itu menjadikan seseorang itu bernilai dan dihormati. Hadir sama, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, Timbalan Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Fais Ahmad, Penyelaras Program Pengurusan Perniagaan serta Penyelaras Program Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan.