All News

14 PELAJAR 2U2I SBM TAMAT PROGRAM PERSEDIAAN KE INDUSTRI

SBM Online: Seramai 14 pelajar kohort pertama program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Mod 2U2I, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) berjaya menamatkan program ‘Structured Intensive Grooming’ yang diadakan selama 4 hari bermula pada 15 hingga 18 Ogos lalu menerusi Webex dan Facebook Live SBM.

Program anjuran Unit Keusahawanan, SBM dengan Kerjasama Pusat Alumni, UUM itu menampilkan empat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan lima penceramah lain yang mana sebahagian daripada jemputan merupakan alumni UUM.

Dekan SBM, Prof. Dr. Salniza Md. Salleh berkata, program ‘Structured Intensive Grooming’ itu merupakan satu keperluan dalam struktur pelaksanaan Program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Mod 2U2I yang mana ia dijadikan sebagai langkah persediaan pelajar 2U2I sebelum melangkah ke industri.

Menurut Pengarah Projek, Dr. Norria Zakaria, antara intipati program termasuklah pendedahan pelajar kepada aspek keterampilan diri, komunikasi dengan pemegang taruh, isu-isu berkaitan etika dalam perniagaan, kepimpinan, persekitaran serta keperluan sesebuah perniagaan.

Selain itu, katanya, pelajar juga diberikan pendedahan terhadap aspek dokumentasi dan perundangan dalam perniagaan.

Pelajar sememangnya amat bertuah kerana dapat mendengar perkongsian ilmu daripada usahawan-usahawan yang telah dijemput yang berkongsi pengalaman mereka membangunkan perniagaan masing-masing.

Menerusi program ini, pelajar terlah memperoleh pelbagai tips, ilmu, nasihat dan pesanan yang boleh dijadikan panduan dan bekalan semasa keberadaan pelajar di industri kelak.

Di akhir bengkel tersebut, penceramah telah menyuntik kata-kata motivasi kepada  pelajar untuk sentiasa  merendah diri walau dalam apa jua situasi dan sentiasa merebut dan mengambil peluang yang ada di hadapan mata. 

Menurut mereka juga, pelajar 2U2I amat beruntung kerana diberikan pendedahan daripada kedua-dua mentor akademik dan industri, malah penceramah juga bersetuju dengan keputusan penempatan pelajar selama 2 tahun di industri sebagai idea yang bernas kerana terdapat pelbagai perkara yang boleh dipelajari dalam dunia keusahawanan.