All News

SBM DIPERKASA, LEBARKAN SAYAP KE PERINGKAT ANTARABANGSA

UUM ONLINE: Gagasan Akademia dan Admin Holistik (GAGAH) UUM 2021-2025 merupakan agenda utama pertemuan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah bersama warga Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) melalui Webex, baru-baru ini.

Prof. Dr. Haim Hilman memulakan ucapan beliau dengan menekankan peri pentingnya ahli akademik SBM untuk memantapkan kepakaran melalui kerjasama berpasukan dalam bidang pengkhususan masing-masing bagi memperkasa jenama SBM sebagai pusat pendidikan dan pembangunan dalam pelbagai bidang pengurusan dan pengurusan perniagaan supaya terus dihormati dan menjadi rujukan di dalam dan di luar negara.

Menurutnya, beliau mahu staf akademik dan pentadbiran di SBM berganding bahu serta memainkan peranan untuk menjadikan SBM sebagai sebuah pusat pengajian yang berkualiti dan dihormati, selain menjadi pilihan dan rujukan sama ada dalam bentuk program akademik, penyelidikan, penerbitan atau perundingan.

“Di sampimg itu, tahniah diucapkan kepada rakan-rakan di SBM yang telah berjaya menamatkan pengajian PhD. Saya berharap mereka dapat berganding bahu dengan pensyarah yang lebih senior untuk memantapkan diri dalam bidang kepakaran masing-masing. Ini penting sebagai persediaan untuk kenaikan pangkat nanti,” katanya.

Kemudian, beliau berkongsi tentang GAGAH UUM 2021-2025 yang dilancarkan pada April lalu dengan objektif utamanya untuk menjadikan UUM sebagai Lembah Penyelidikan & Inovasi (Strive Valley) dan Taman Penyelidikan & Pembangunan Komuniti (Score Park).

Menurutnya, lima (5) inisiatif Gagah UUM iaitu RAPID (Research, Publication, & Innovation Drive), SQUAD (Sustainable Quintuple Helix Collaboration), UNIVIBE, UNITAC dan SMART akan dapat memacu UUM ke arah Universiti Budaya Tinggi berteraskan cogan kata hikmat UUM iaitu Ilmu, Budi dan Bakti.

Katanya, GAGAH UUM 2021–2025 merupakan pelengkap bagi Pelan Strategik UUM khususnya untuk mencapai KPI bagi Teras 2 – Kecemerlangan Penyelidikan dan Teras 3 – Kelestarian Kerjasama Industri dan Komuniti.

“Inisiatif RAPID yang terbahagi kepada penyelidikan (RAPID 1), penerbitan (RAPID 2), inovasi atau harta intelek (RAPID 3) dan perundingan (RAPID 4) menjadi tulang belakang kepada usaha merealisasikan KPI dan PI Teras 2. Manakala SQUAD ‘Sustainable Quintuple Helix (SQUAD) Initiative’ akan menjadi pemacu kepada kelangsungan KPI dan PI untuk Teras 3 melalui kerjasama strategik dengan Industri (SQUAD 1) dan komuniti (SQUAD 2).

“Saya menggesa warga SBM agar terlibat secara aktif dalam menjayakan inisiatif-inisiatif RAPID dan SQUAD yang menjadi pemacu kepada kelangsungan KPI dan PI untuk Teras 2 dan 3,” katanya yang turut berkongsi Insiatif Pembangunan Sumber Manusia terdiri tujuh inisiatif.

Sementara itu, Dekan SBM, Prof. Dr. Salniza Md. Salleh berharap semua warga SBM terus berusaha bagi memperkasa jenama SBM serta mendukung penuh agenda GAGAH untuk mencapai Pelan Strategik UUM dan seterusnya memastikan SBM dan UUM kekal relevan di pentas nasional, serantau dan antarabangsa.