All News

'SBM GREEN ENVIRONMENT & GOOD MIND PROJECTS' semarakkan kepedulian hijau dan kesihatan mental

Berita & gambar oleh: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan

SBM ONLINE: 9 April 2021, Langkawi:  Mengambil peluang rehat di sebelah petang semasa Bengkel Pelan Tindakan Strategik 2021 serta komited terhadap pemeliharaan alam sekitar yang bersih dan selamat, seramai 21 orang staf Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah menyertai satu program Lestari Hijau di Langkawi baharu-baharu ini.  Program ‘SBM Green Environment & Good Mind Projects’ menggabungkan dua aktiviti serentak antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran para peserta ke atas kepedulian untuk menjaga alam sekitar dan dalam masa yang sama menekankan aspek penjagaan kesihatan mental.  Program bertempat di Pantai  Kok, Langkawi bermula dengan aktiviti ‘plogging’ di sepanjang pantai berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.  Para peserta telah diberikan sarung tangan getah, plastik sampah dan pelitup muka serta diingatkan agar mematuhi aspek SOP yang ditetapkan bersesuaian dengan keperluan menghadapi wabak COVID-19.  Di akhir program ini, para peserta telah berjaya mengumpul sebanyak lima beg sampah yang meliputi sisa buangan  plastik dan kertas yang boleh dikitar semula.

Dalam sesi kedua, bertemakan ‘Good Mind:  Mental therapy via wave energy” para peserta diberi ruang berehat di tepian pantai sambil mendengar alunan ombak yang lembut.  Menurut Orfeu Buxton pensyarah dalam bidang kesihatan biobehavioral manusia, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat, bunyian yang tenang seperti deruan air dan ombak tidak memberi ancaman kepada manusia dan boleh menenangkan fikiran.  Sementara itu, Dekan SBM, Prof. Dr. Salniza Md. Salleh menegaskan bahawa program-program seumpama ini penting untuk menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat supaya lebih prihatin kepada kebersihan setempat.  Di samping itu, mental yang sihat juga penting kepada staf bagi membolehkan prestasi kerja yang lebih baik.  Program yang bermula jam 5.00 petang itu berakhir sejam kemudian dengan wajah ceria dan berpuas hati para peserta yang terlibat.