All News

BENGKEL PELAN TINDAKAN STRATEGIK 2021 SBM DI BUMI MAHSURI KETEPIKAN SIKAP INDIVIDUALISTIK

Berita & Gambar oleh : Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan

9 April 2021 – Bertempat di GoldSands Hotel Langkawi telah berlangsung Bengkel Pelan Tindakan Strategik 2021 anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan.  Bengkel yang berlangsung dari 8 hingga 10 April 2021 baharu-baharu ini telah melibatkan seramai 22 orang peserta.  Para peserta adalah terdiri daripada Dekan, Timbalan Dekan, Ketua-ketua Jabatan, Pengerusi-pengerusi Jawatan Kuasa dan beberapa orang staf pentadbiran. 

Bengkel selama 3 hari 2 malam itu bertujuan mendedahkan para peserta dengan petunjuk-petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai oleh Pusat Pengajian melalui jawatan kuasa- jawatan kuasa tertentu.  Bengkel berkenaan turut dihadiri oleh Pengurus Pelan Strategik, Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) UUM iaitu Prof. Madya Dr. Natrah Saad.  Beliau menegaskan bahawa SBM berada di landasan yang betul dan yakin SBM boleh mencapai kedudukan yang lebih baik bagi tahun 2021 walaupun dengan bilangan KPI yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.  Beliau berpendapat bengkel seumpama ini bakal membantu Pusat Pengajian lebih bersinergi dan strategik dalam mencapai KPI yang ditetapkan.

Dalam bengkel berkenaan, para peserta telah diagihkan kepada beberapa kumpulan mengikut enam (6) teras utama dalam agenda Pelan Strategik Universiti.  Dekan SBM, Prof. Dr. Salniza Md. Salleh menyatakan bengkel ini antara lain membolehkan Pusat Pengajian merancang pelan tindakan yang lebih berfokus dan holistik.  Ini bertujuan memanfaatkan sumber secara optimum dan dalam masa yang sama dapat mengelakkan pertindanan aktiviti dalam kalangan jawatan kuasa di SBM.  Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian pelan strategik Pusat Pengajian bukanlah pencapaian individu.  Ia memerlukan garapan idea dan tindakan bersama dalam satu pasukan melibatkan semua pihak di SBM.

Para peserta yang dihubungi rata-rata berpuas hati dengan bengkel kali ini dan berpendapat lebih banyak pendedahan seumpama ini dilakukan kepada semua staf di SBM dari masa ke semasa.  Dr. Marziah ketika ditemubual menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kerana diberi peluang untuk menyertai bengkel ini kerana dapat menyumbang idea di samping mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan peserta. 

Turut diatur dalam bengkel kali ini adalah program pembangunan kelastarian yang bertemakan “SBM Green Environment & Good Mind Projects” yang melibatkan kesemua peserta di Pantai Kok, Langkawi.