All News

SBM SUMBANG KEPAKARAN PERKASAKAN MUZIUM NEGERI DAN MUZIUM PADI NEGERI KEDAH

Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) berbesar hati untuk membantu memperkasakan peranan Muzium Negeri bagi merancakkan industri pelancongan di Negeri Kedah selaras dengan Strategi 4: Pelancongan dan Pemeliharaan Warisan Negeri Kedah yang terkandung dalam Belanjawan Negeri Kedah 2021.

Sehubungan itu, SBM telah mengadakan perbincangan secara atas talian dengan pengurusan Lembaga Muzium Kedah, baru-baru ini yang turut disertai Pengarah Lembaga Muzium Kedah, Suhaidi Shukri dan Penolong Kurator, Badri Sham Ahmad, Mohd Rashidi Ishak serta Intan Hamidah Yazek.

Perbincangan itu adalah hasil lawatan balas SBM ke Muzium Negeri dan Muzium Padi pada Disember tahun lalu yang diketuai Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman bersama Prof. Madya Dr. Awanis Ku Ishak, Dr. Normalisa Md Isa, Dr. Norizan Azizan dan Dr. Safwan Marwin Abdul Murad.

Hasil perbincangan dengan Muzium Negeri Kedah itu, beberapa program dan aktiviti secara bersama telah dipersetujui yang akan memberi manfaat kepada pihak pengurusan Muzium Negeri dalam usaha menambahbaik perkhidmatan yang ditawarkan, selain merancang program berimpak berdasarkan kehendak semasa.

Menurut Suhaidi, beliau yakin pensyarah-pensyarah SBM dapat membantu memantapkan peranan Muzium Negeri Kedah agar setanding dengan muzium-muzium di luar negara.